suria

Ahli Parlimen UK dipecat sebagai pembantu kementerian selepas gesa gencatan senjata Israel-Gaza

Bristow dipecat gara-gara menggesa gencatan senjata di Gaza. -Gambar AFP

SEORANG ahli Parlimen United Kingdom dari Parti Konservatif telah dipecat daripada jawatannya sebagai pembantu kementerian selepas menggesa gencatan senjata di Gaza.

Paul Bristow, pembantu setiausaha di kementerian sains, inovasi dan teknologi, telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Rishi Sunak, minggu lalu menggesa beliau mengubah pendiriannya mengenai konflik Israel-Gaza dan menyokong penamatan 'kekal' kepada permusuhan.

Untuk makluman, United Kingdom mengatakan ia menyokong 'jeda kemanusiaan' tetapi bukan gencatan senjata.

Dalam suratnya, Bristow berkata gencatan senjata penuh akan menyelamatkan nyawa dan membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, jurucakap Downing Street berkata keputusan untuk memecat Bristow daripada jawatannya adalah sebagai tindak balas kepada komen yang dianggap 'tidak konsisten dengan prinsip tanggungjawab kolektif'.

"Dengan rasa kesal saya meninggalkan pekerjaan yang saya nikmati. Tetapi saya kini boleh bercakap secara terbuka tentang satu isu yang begitu ramai pengundi saya ambil berat," katanya kepada BBC.

Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini telah mempertingkatkan serangan udara dan daratnya ke atas Semenanjung Gaza.

Menurut kenyataan pihak berkuasa di Gaza, lebih 8,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan udara Israel. -Aljazeera

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain