suria

Tragis... Jurutera penyiaran Al Jazeera hilang 19 ahli keluarga dalam serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia

Orang awam dan anggota penyelamat mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kem pelarian Jabalia. -Gambar Reuters

SEORANG jurutera penyiaran biro Al Jazeera di Gaza, Mohamed Abu Al-Qumsan, kehilangan 19 ahli keluarga termasuk bapa dan dua adik perempuannya, dalam serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Al Jazeera mengecam apa yang dipanggil 'pembunuhan beramai-ramai' dan 'tindakan tidak boleh dimaafkan' oleh tentera Israel.

"Perbuatan yang tidak boleh dimaafkan ini, semasa pembunuhan beramai-ramai Jabalia, meragut nyawa bapa Mohamed, dua adik perempuan, lapan anak saudara lelaki dan saudara perempuan, abangnya, isteri abangnya dan empat anak mereka, adik iparnya, dan seorang bapa saudara," demikian kenyataan tersebut.

Serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia, kawasan kejiranan yang padat di utara Gaza, membunuh lebih 50 penduduk, menurut pihak berkuasa Palestin.

Rakaman yang menunjukkan tempat kejadian memaparkan anggota penyelamat dan sukarelawan menggunakan tangan mereka untuk menggali runtuhan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Pihak berkuasa Palestin berkata bahawa sekurang-kurangnya 8,525 orang termasuk lebih 3,500 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza sejak pertempuran bermula pada 7 Oktober. -Aljazeera

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain