suria

Pegawai PBB letak jawatan sebagai tanda protes pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Mokhiber menghantar surat peletakan jawatannya pada minggu lalu. -Gambar UN

PENGARAH pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York telah meletak jawatan sebagai protes terhadap perang berterusan Israel di Gaza, dengan menggelarnya sebagai 'kes jelas pembunuhan beramai-ramai'.

Craig Mokhiber menghantar surat peletakan jawatannya kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, pada minggu lalu.

Dalam surat berkenaan, Mokhiber menyifatkan PBB tidak berdaya dan gagal menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di hadapan mata.

"Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan kebanyakan negara Eropah bukan sahaja enggan mematuhi kewajiban perjanjian di bawah Konvensyen Geneva, malah mengukuhkan serangan Israel serta menyediakan perlindungan diplomatik dan politik.

"Kita mesti mengakui bahawa AS dan kuasa barat lain sebenarnya bukanlah pengantara yang boleh dipercayai, tetapi pihak sebenar dalam konflik yang bersubahat dengan Israel dalam pencabulan hak Palestin," tulis Mokhiber dalam suratnya.

Mokhiber dalam pada itu juga menyeru agar kezaliman Israel dihentikan.

Surat peletakan jawatan oleh Mokhiber dihantar selepas PBB menuntut gencatan senjata kemanusiaan antara Israel dan Hamas, di tengah-tengah peningkatan serangan oleh Israel ke atas Gaza.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Jumaat menerima resolusi bertajuk 'Protection of Civilians and Upholding Legal and Humanitarian Obligations' dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.

Israel dan AS telah menolak gesaan untuk gencatan senjata, menambah bahawa tindakan itu bermakna mereka menyerah kalah yang akan membawa kemenangan kepada Hamas. -Dailymail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain