SEORANG gadis berstatus orang kelainan upaya (OKU) berusia 16 tahun mendesak ibunya memulangkan wang miliknya berjumlah 400,000 baht (RM52,620) yang diterima sebagai pampasan selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya. Menerusi saluran televisyen tempatan, Channel 3, remaja tersebut berkata, dia yang menunggang motosikal ketika kejadian, kehilangan kaki kanannya dalam kemalangan tersebut. Mahkamah mengarahkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu membayar pampasan berjumlah 500,000 baht (RM65,775) di mana wang itu diberikan kepada ibunya. Ibu bapanya kemudiannya bercerai dan gadis itu tinggal bersama ibu saudaranya. Namun menurut remaja itu, ibunya hanya memberikannya 100,000 baht (RM13,155) dan menyimpan baki wang pampasan miliknya. Ujarnya, dia memerlukan wang berkenaan untuk menampung perbelanjaan persekolahannya, keperluan harian serta perbelanjaan pada masa akan datang. Kata remaja tersebut, ibunya memintanya menunggu sehingga dia berusia 20 tahun. Dedahnya, dia malah terpaksa memakan mi segera setiap hari kerana mahu berjimat cermat. Ujarnya lagi, dia terpaksa menggunakan media kerana beberapa kali permintaannya sebelum ini tidak diendahkan oleh ibunya serta sering berakhir dengan pertengkaran. -Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube