suria

Budak lelaki tulis surat tak sengaja calarkan kereta jiran, selit wang RM31... Mohon bayar kos ganti rugi secara ansuran

Surat permohonan maaf beserta wang berjumlah 50 yuan (RM31.87) yang ditinggalkan oleh budak tersebut.

SEORANG kanak-kanak lelaki yang tidak sengaja mencalarkan kereta milik jirannya, menulis surat permohonan maaf dan meninggalkan wang berjumlah 50 yuan (RM31.87) sebagai kos ganti rugi.

Pemilik kereta bernama Xu dan suaminya, dari Hangzhou, China, menemui sedikit kesan calar pada kereta mereka, justeru perkara tersebut tidak diambil serius.

Bagaimanapun, ketika memandu keluar dari komuniti kediaman, seorang pengawal keselamatan memberhentikan kereta mereka dan menyerahkan sekeping nota beserta wang berjumlah 50 yuan di dalamnya.

Surat bertulisan tangan bertarikh 25 Oktober itu dikarang oleh seorang budak lelaki bernama Ye.

"Surat mohon maaf: Semalam, saya calarkan kereta anda dengan kayu dan rasa bersalah yang teramat sangat. Sekarang saya hanya ada 50 yuan. Berapakah kos untuk membaiki kereta anda? Bolehkah saya membayar secara ansuran? Saya minta maaf, pakcik," demikian isi kandungan surat tersebut.

Menurut Xu, dia dan suaminya terharu dengan kejujuran dan keberanian kanak-kanak tersebut mengakui kesilapan yang dilakukan, malah siap menawarkan bayaran kos ganti rugi.

Petang hari berkenaan, Xu dan suaminya bertemu dengan budak lelaki tersebut yang merupakan pelajar sekolah rendah.

"Kami memberitahunya bahawa kami menerima surat tersebut dan ia ditulis dengan sangat serius. Kami juga menerima 50 yuan sebagai kos untuk membaiki kesan calar.

"Kemudian kami beritahu budak itu, oleh kerana dia berkelakuan baik dan bersedia bertanggungjawab atas tindakannya, dia akan mendapat 50 yuan itu kembali sebagai ganjaran," kata Xu.

Kisah berkenaan ternyata menyentuh hati warga maya di mana rata-ratanya memuji sikap murni budak lelaki berkenaan. - SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain