suria

Warga emas dihalau anak angkat, merempat di rumah orang... Peguam dedah punca konflik

Seorang anak sanggup berlaku kejam terhadap ibu angkatnya. -Foto Tribunnews.com

TERGAMAK seorang anak membuang ibu angkatnya!

Begitulah kisahnya di Banyuasin, Indonesia apabila seorang pemuda sanggup memutuskan hubungan dengan wanita lanjut usia yang membesarkannya sejak dia berusia dua tahun.

Dalam satu video tular di Instagram, wanita terbabit yang dikenali sebagai Siti Marbiah, 73, dilihat menangis di hadapan orang ramai apabila dia terpaksa hidup merempat selepas dihalau anak angkatnya.

Peguam yang mewakili Siti Marbiah mengatakan anak guamnya tidak dikurniakan anak kandung, lalu dia mengambil seorang anak angkat yang dinamakan sebagai AY.

AY disayangi bagai menatang minyak yang penuh, dihantar ke sekolah sehingga memasuki kolej dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik.

Namun, kasih sayang yang dicurahkan tidak dihargai malah dibalas dengan kejahatan apabila AY sanggup memperdaya ibu angkatnya untuk merebut kekayaan.

Pertelingkahan bermula apabila Siti Marbiah mewarisi rumah dan harta pusaka daripada keluarga besarnya.

AY kemudiannya secara licik memujuk ibu angkatnya itu untuk menjual rumah dan tanah tersebut tanpa pengetahuan keluarga.

Duit yang diperolehi kemudiannya digunakan untuk membeli rumah baharu buat AY manakala baki 200 juta rupiah (RM59,956) diambil sepenuhnya oleh AY.

Siti Marbiah juga turut dihalau daripada rumah sendiri dan menumpang kediaman orang lain selama lapan bulan. - Serambinews.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain