ISRAEL terus menjalankan operasi ketenteraan di Hospital Al-Shifa di Gaza bagi membuktikan dakwaan kononnya Hamas mengendalikan pusat arahan atau operasi mereka di bawah fasiliti kesihatan itu. Susulan serbuan itu, tentera Israel mendakwa mereka menemukan peralatan ketenteraan seperti senapang, peluru dan bahan letupan bagi menyokong dakwaan mereka. Malah mereka juga berkongsi rakaman video operasi di dalam Hospital Al-Shifa. Apa yang ditemukan di Hospital Al-Shifa? Terbaharu tentera Israel memuat naik video memaparkan rakaman bahagian dalam sebuah bangunan. Kelihatan dalam video itu adalah tiga beg sandang yang didakwa disorok di dalam makmal pengimejan resonans magnet (MRI). Setiap satunya mengandungi senapang, bom tangan, pakaian uniform ketenteraan Hamas dan jaket kalis peluru. Selain itu, tentera Israel juga menunjukkan sebuah komputer riba yang didakwa ditemukan mereka. Beberapa askar Israel melakukan operasi mencari pejuang Hamas di dalam Hospital Al-Shifa. Jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus berkata mereka yakin masih ada banyak senjata yang disembunyikan Hamas dan akan meneruskan operasi menggeledah. "Tidak wajar untuk senjata api sebegini berada di dalam hospital," ujar Jonatahan. Benarkah wujud terowong dan pusat ketenteraan Hamas di dalam Hospital Al-Shifa? Rejim Israel turut mendakwa Hamas beroperasi menggunakan terowong yang berpusat di bawah Hospital Al-Shifa bagi melancarkan serangan. Dakwaan Zionis itu juga disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang menyelar Hamas kerana menggunakan hospital sebagai benteng dan perisai untuk mereka melakukan jenayah perang. Namun begitu, 24 jam selepas serbuan tentera Israel bermula ke atas Hospital Al-Shifa, mereka masih gagal membuktikan kewujudan sebarang terowong atau pusat ketenteraan di dalam hospital. Adakah dakwaan Israel hanya satu pembohongan? Setiausaha Agung Pergerakan Inisiatif Kebangsaan Palestin, Mustafa Barghouti berkata bukti senjata api yang ditemukan di dalam hospital itu berkemungkinan besar diletakkan sendiri oleh rejim Israel bagi menabur fitnah. "Apa yang mereka tunjukkan hanyalah senapang jenis Kalashnikov dan sebuah komputer riba, semua tu mereka boleh letakkan sendiri dan dakwa mereka yang jumpa," kata Mustafa ketika dihubungi media. Sementara itu menerusi satu video di platform X, Jonathan Conricus dilihat membawa penonton untuk melihat keadaan di dalam Hospital Al-Shifa. Dia mendakwa ia adalah rakaman asal yang tidak disunting atau dipotong. Walaupun begitu, video tersebut kemudiannya dipadam dan video baharu dimuat naik dengan sedikit perubahan. Perkara ini membuatkan ramai tertanya-tanya, apakah kebenaran yang sebenarnya? - Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube