suria

“Kami tidak mempunyai katil” - Pesakit dibiar terbaring, terima rawatan atas lantai

Pesakit terpaksa berbaring di atas lantai semasa mendapatkan rawatan.

SITUASI membabitkan fasiliti kesihatan di Gaza terus meruncing.

Kini, Hospital Indonesia yang terletak di utara Gaza pula tidak dapat berfungsi sepenuhnya kerana kekurangan bekalan perubatan.

Pada masa sama, bilangan pesakit pula semakin ramai susulan serangan Israel ke atas wilayah yang dikepung itu.

Menerusi rakaman dari hospital di Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza, rakyat Palestin yang cedera terpaksa ‘berbaris’ di lorong dalam keadaan terbaring mahupun tertiarap

Menurut Pengarah Hospital Atef al-Kahlout, pasukannya tidak dapat menawarkan perkhidmatan perubatan dan rawatan lagi.

“Kami tidak boleh menawarkan sebarang katil kepada pesakit. Hospital mempunyai kapasiti 140 pesakit,” kata al-Kahlout kepada Al Jazeera pada Khamis.

Kini terdapat lebih 500 pesakit dengan 45 orang daripadanya memerlukan rawatan pembedahan segera.

Perkara sama turut disuarakan seorang seorang kakitangan kesihatan selepas mendapati bekalan perubatan semakin berkurangan.

"Kami tidak mempunyai katil. Kami menerima orang yang cedera dari Wadi Gaza ke Beit Hanoon," katanya sambil menambah terdapat individu yang telah berada di situ selama 10 hari.

Terdahulu, hampir 30,000 rakyat Palestin telah cedera sejak Israel memulakan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober selepas Hamas melakukan serangan mengejut ke atas Israel selatan, membunuh kira-kira 1,200 orang, menurut pihak berkuasa Israel.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain