SATU klip video yang menunjukkan seorang askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meraikan ulang tahun anak perempuannya dengan meletupkan sebuah bangunan rumah di Gaza, menjadi tular di laman web dan media sosial pada Sabtu. "Saya mendedikasikan letupan ini kepada anak perempuan saya 'puteri Ayala' pada hari lahirnya ketika dia mencecah dua tahun hari ini," demikian kata-kata askar tersebut dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Video tidak bertarikh dengan durasi 43 saat itu dikongsi dan disiarkan beribu-ribu kali oleh pengguna Internet. Saluran media bahasa Arab dan Inggeris melaporkan askar itu telah mendapat kebenaran daripada tentera Israel sebelum dia meletupkan bangunan rumah tersebut di Gaza. "Saya merindui kamu," kedengaran kata-kata askar tersebut yang ditujukan buat anak perempuannya itu. Dalam video tersebut, beberapa anggota tentera IDF dilihat mengelilingi askar yang tidak dinamakan itu semasa dia memberi 'arahan' untuk meletupkan bangunan itu. "Ini adalah stesen penerimaan... dalam 10 saat," ujar askar tersebut dalam keadaan berlutut. Semua askar memulakan detik kiraan dalam bahasa Ibrani, dan apabila mencapai sifar, letupan kuat kedengaran serentak dengan video dirakam menunjukkan sebuah bangunan diletupkan di belakang mereka. Rakaman itu telah mencetuskan kecaman dan kritikan warga maya kerana ia berlaku semasa perang berterusan antara IDF dan pasukan Hamas di Semenanjung Gaza. Rata-ratanya meninggalkan komen dengan menyifatkan Israel sebagai negara pengganas. -Arabnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube