SEORANG mahasiswa dari Tasikmalaya, Jawa Barat tergamak membunuh kekasihnya selepas mengesyaki wanita tersebut hamil. Suspek yang dikenali sebagai Herdis Permana, 20, melakukan perbuatan kejam tersebut kerana panik selepas mangsa mengakui tidak datang haid sejak dua bulan lalu. Menurut Ketua Polis Bandaraya Tasikmalaya, AKBP SY Zainal Abidin, Herdis dan teman wanitanya yang dikenali sebagai WW, 19, didakwa bersetuju untuk menggugurkan kandungan. Mereka sepakat untuk bertemu namun ketika pertemuan di Kampung Sedaleuwih, suspek tidak mendapat bukti dan pengakuan daripada mangsa bahawa dia telah menggugurkan kandungan sehingga tercetus pergaduhan. Suspek kemudian memukul mangsa menggunakan kayu namun apabila mendapati mangsa masih hidup, dia menikam rusuk mangsa menggunakan sebilah kerambit. Suspek meninggalkan mangsa yang berlumuran darah di dalam semak di kebun durian dan pulang ke rumah seperti biasa. Mayat mangsa ditemukan oleh orang kampung pada petang Rabu (29 November). Hasil siasatan polis, suspek berjaya diberkas pada keesokan harinya (30 November) di rumahnya. -Serambinews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube