SEORANG lelaki di Thailand dilaporkan menumbuk jirannya sehingga mati gara-gara bergaduh mengenai najis anjing. Pegawai dari Balai Polis Mueang Lampang dan pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian di jalan Lampang-Ngao sekitar pukul 7.45 pagi Jumaat selepas menerima maklumat berhubung insiden tersebut. Ketika pihak berkuasa tiba, mangsa yang dikenali sebagai Chanadate Praharnkhasuek, 68, terbaring di tepi jalan dalam keadaan tidak bernyawa. Menurut keterangan suspek, Autsawin Wattanachot, 54, segala-galanya bermula apabila ibunya membawa anjing peliharaan mereka berjalan-jalan dan melewati rumah mangsa. Mangsa bertindak memarahi ibu suspek dan meminta wanita tersebut agar tidak membawa anjing melepasi kediamannya kerana bimbang najis haiwan berkenaan bersepah dan mengotori kawasannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, suspek berkata dia cuba berbincang dengan mangsa. Bagaimanapun ia bertukar menjadi pertengkaran dan mangsa didakwa menyerang suspek menggunakan penyodok. Bertindak untuk mempertahankan diri, suspek menumbuk muka mangsa berkali-kali sehingga warga emas itu rebah. Suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Lampang untuk dibedah siasat bagi menentukan sama ada dia mati akibat serangan fizikal atau senjata. -Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube