SIANG mengemis, malam menginap di hotel mewah! Demikian taktik yang digunakan oleh seorang pengemis yang berjaya ditahan dalam serbuan oleh Pemerintah Daerah (Satpol) di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia. Difahamkan, hotel yang diinap oleh pengemis yang berasal dari Jombang itu bukanlah hotel bajet. Menurut Ketua Satpol Ponorogo, Subiantoro, apa yang lebih mengejutkan, pengemis berkenaan sudah menginap di hotel tersebut selama seminggu! Subiantoro berkata, pihaknya telah mempergiatkan serbuan terhadap pengemis sejak beberapa hari lalu. "Dalam beberapa hari kebelakangan ini kami telah menyerbu pengemis. Satu perkara yang unik dan mengejutkan ialah terdapat seorang pengemis menginap di hotel itu," kata Subiantoro. Subiantoro mendedahkan pengemis dari Jombang itu diketahui telah menetap di hotel itu selama seminggu selepas pegawai melakukan pemeriksaan. Malah apabila diperiksa, pegawai menemui kunci bilik salah sebuah hotel di tengah kota Ponorogo. Ujarnya, beliau tidak mengetahui secara terperinci jumlah yang diperoleh pengemis itu dalam sehari. Bagaimanapun, beliau mengesahkan pendapatan pengemis itu melebihi IDR 100,000 (RM30) sehari. -Tribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube