suria

Pakcik dihalau menantu rupanya ada ‘plot twist’, didakwa curi telefon untuk isteri muda

Pihak keluarga mendedahkan tentang sikap lelaki warga emas itu.

KISAH tular mengenai seorang lelaki warga emas yang dihalau menantunya, akhirnya terbongkar.

Lelaki itu menjadi perhatian selepas menangis teresak-esak kerana dihalau menantunya.

Datang jauh dari Kalimantan ke Jakarta, Indonesia, lelaki itu terpaksa merayau kerana dihalau anak sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup datang jauh dari kampung rindukan anak, pakcik ini meraung dihalau menantu

Namun, timbul dakwaan mengenai anaknya sekeluarga sudah tidak tahan dengan sikap lelaki berusia 65 tahun itu.

Bermula dari menipu hingga mencuri barang-barang kepunyaan anak, keluarga membawanya ke Kalimantan, tetapi kembali pulang ke Jakarta.

Terbaru, lelaki itu didakwa mencuri telefon bimbit dari rumah anaknya untuk dihadiahkan kepada isteri mudanya.

Menerusi satu perkongsian, pihak keluarga yang enggan dikenali mendakwa pengakuan lelaki warga emas itu hanya rekaan semata-mata.

Mereka sekeluarga sebenarnya hampir berputus asa dengan perangai lelaki itu yang enggan berubah.

"Dia sebenarnya mempunyai pekerjaan yang bagus dengan gaji besar dan mempunyai seorang isteri. Namun, dia menjalinkan hubungan sulit dan ditimpa musibah sebelum bercerai.

"Dia kembali kepada isteri muda namun dihalau kerana tidak bekerja lagi. Tetapi isteri muda mempergunakannya untuk tujuan mengemis dan mencuri telefon bimbit orang ramai, termasuk saya," dakwanya.

Ditanya mengenai keberadaan lelaki warga emas itu, mereka sekeluarga mengaku tidak tahu.

Terdahulu, kisah sedih lelaki itu dikongsikan oleh seorang penumpang kereta api yang bertemu dengannya.

"Dia dari Kalimantan, pada mulanya diberitahu untuk datang ke Jakarta. Tapi selepas hanya dua hari dia dihalau oleh menantu,” katanya sambil menambah dia dihalau kerana tidak disenangi cucunya. - Tribun Jatim

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain