suria

Suami penggal kepala isteri, berang lambat buatkan air teh

Suspek didakwa memenggal kepala isteri kerana minuman teh. -Gambar CEN

SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki membunuh selepas didakwa memenggal kepala isterinya menggunakan pedang.

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu selepas berang dalam satu pertengkaran membabitkan minuman teh.

Suspek dipercayai melancarkan serangan itu selepas isterinya lewat membawakan secawan teh kepadanya.

Tragedi berdarah berlaku di kediaman pasangan itu di Faljagadh, di Uttar Pradesh, India, menyaksikan suspek menikam mangsa berusia 50 tahun berulang kali.

Mangsa berusia 50 tahun. -Gambar CEN

Suspek, yang bekerja sebagai penjual sayur-sayuran, didakwa menikam isterinya sebanyak 15 kali dengan pedang sebelum memenggal kepalanya selepas pasangan itu bertengkar.

Media tempatan melaporkan suspek berang kerana lama menunggu minuman panasnya sebelum bergaduh dengan isterinya.

Ketika kejadian, anak lelaki pasangan itu dilaporkan mendengar jeritan mangsa dan bergegas untuk melihat perkara itu, namun bapanya didakwa menyerangnya juga.

Penduduk kampung turut mendengar jeritan dan berlari ke rumah pasangan itu. Bagaimanapun, mereka mendapati mangsa sudah mati dan terbaring berlumuran darah ketika tiba di lokasi kejadian.

Asisten Komisioner Polis Gyan Prakash Rai berkata, pasangan suami isteri itu bergaduh kerana minuman teh.

"Suspek kemudian mengeluarkan senjata tajam dan memenggal leher mangsa dari belakang, yang menyebabkan kematian serta-merta," katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain