suria

Kejam! Israel didakwa bedah, curi organ jenazah penduduk Gaza

80 jenazah rakyat Palestin melalui Lintasan Sempadan Kerem Shalom. -Foto Eye on Palestine

REJIM Zionis berikrar untuk melancarkan serangan habis-habisan tanpa perikemanusiaan ke atas penduduk Palestin bermula 7 Oktober lalu.

Setakat hari ini, dianggarkan kira-kira 20,900 penduduk Gaza terbunuh susulan serangan kejam Israel, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 54,000 lagi cedera.

Pada 26 Disember, rejim Zionis memulangkan 80 jenazah rakyat Palestin yang terkorban di Semenanjung Gaza kepada Pertubuhan Palang Merah melalui Lintasan Sempadan Kerem Shalom.

Namun, memetik laporan Pejabat Media Kerajaan (GMO), sebahagian 80 jenazah yang dipulangkan itu telah kehilangan organ dalamannya seperti hati, buah pinggang dan jantung, didakwa dicuri oleh tentera Israel.

“Tentera Israel juga enggan mendedahkan nama dan lokasi dari mana jenazah itu diambil semasa perang di Gaza.

“Selepas pemeriksaan, keadaan fizikal jenazah itu didapati berubah dengan ketara yang merupakan bukti jelas bahawa Israel mencuri organ di dalam tubuh mangsa yang terkorban," katanya.

Tambah GMO, ini bukan kali pertama Israel melakukan jenayah sedemikian.

Menurutnya, tentera Israel pernah menggali tanah perkuburan di kem pelarian Jabalia, Semenanjung Gaza untuk mencuri jenazah penduduk Palestin dan menyimpannya.

Justeru, GMO menggesa supaya sebuah suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kecurian jenazah dan organ dalaman mangsa yang terkorban dek serangan Israel.

Sementara itu, pemantau hak asasi manusia, Euro-Med, berkata pihaknya pernah mendokumentasikan tentera Israel merampas mayat dari Hospital al-Shifa dan Hospital Indonesia di utara Gaza serta pusat perubatan lain di selatan Gaza.

Pakar-pakar perubatan melaporkan terdapat bahagian penting seperti hati, buah pinggang, jantung, koklea dan kornea yang hilang, jelas bukti berlakunya kecurian organ. - Al Mayadeen English

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain