KETUA Parti Pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung, 59 ditikam di bahagian leher dalam kejadian pada pagi Selasa. Memetik laporan BBC, insiden tersebut berlaku ketika sidang akhbar di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan. Difahamkan, penyerang yang berusia antara 50an dan 60an itu pada mulanya mendekati Lee untuk meminta autograf sebelum dia bertindak menyerang dan menikam di leher kiri. Dalam video tular yang dikongsikan di media sosial, Lee dilihat terbaring di atas lantai dengan mata tertutup. Terdapat seorang individu cuba menahan darah yang mengalir dengan menekan sapu tangan di tepi lehernya. Ketua Parti Pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung. Beberapa individu lain cuba menghalang penyerang daripada melarikan diri dan suspek berjaya ditahan di tempat kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa dibawa dalam keadaan sedar ke hospital untuk menerima rawatan. Untuk rekod, pada pilihan raya presiden 2022 Lee adalah pencabar utama Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol. Beliau tewas dengan perbezaan undi 0.73 peratus. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube