suria

Gempar ikan terdampar di pantai! Ada yang anggap rezeki, ramai juga risau petanda bencana alam

Tangkap layar menunjukkan kumpulan besar ikan terdampar di pantai di Filipina. -Gambar Facebook

SEKUMPULAN besar ikan ditemukan terdampar di pantai Sarangani, Pulau Mindanao, Filipina.

Memetik portal Thaiger, fenomena itu menggembirakan penduduk tempatan yang menganggapnya sebagai hadiah (rezeki) daripada Tuhan.

Bagaimanapun, ramai juga berasa bimbang dengan kejadian itu yang mungkin memberi petanda bencana alam bakal berlaku.

Sebagaimana dikongsikan pelayar di Facebook, Diane Lawa Tagun, video memaparkan kejadian luar biasa pada Ahad itu tular sejak disiarkan pada hari sama.

Dalam rakaman video tersebut, penduduk di bandar Masiim di wilayah Sarangani melihat kumpulan besar ikan berenang ke darat dan mati di persisiran pantai.

Ketika ditemui oleh wartawan, beberapa penduduk tempatan memberitahu ikan yang berjaya ditangkap beratnya mencecah beberapa tan.

Sebelum ini, pada awal Disember 2023, pihak berkuasa tempatan di bandar Hakodate, Hokkaido di Jepun juga menemui puluhan ribu ekor ikan sardin dan kembung mati di sepanjang pesisir hampir sepanjang 1 kilometer.

Susulan kejadian, ada penduduk mengambil kesempatan dengan mengumpul ikan berkenaan untuk dijual dan dimakan.

Namun, pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai agar tidak makan ikan-ikan tersebut.

Pada 1 Januari lalu, gempa bumi kuat 7.6 magnitud melanda Wilayah Ishikawa di Semenanjung Noto, Jepun.

Sehingga kini, tiada penerangan saintifik yang jelas sama ada kematian ikan besar-besaran di pulau Hokkaido dan gempa bumi di tengah Jepun mempunyai berkaitan.

Penganalisis bencana Jepun membuat rumusan bahawa kematian ikan secara besar-besaran mungkin disebabkan oleh haiwan laut itu cuba melarikan diri daripada pemangsa yang lebih besar, mengakibatkan kekurangan oksigen secara tiba-tiba, atau kumpulan ikan itu berhijrah tetapi menghadapi arus sejuk secara tiba-tiba.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain