suria

Penangan majlis kahwin Putera Mateen, Dayang Anisha... Tempahan hotel di Bandar Seri Begawan penuh

Majlis akad nikah pasangan itu dijadualkan berlangsung pada Khamis.

HOTEL-hotel di Bandar Seri Begawan menyaksikan lonjakan tempahan berikutan majlis perkahwinan diraja Brunei antara Pangiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dengan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah.

Andy Goh, pengurus besar di sebuah hotel tempatan di bandar itu berkata, bilik-bilik pada tarikh 14 Januari yang juga hari Perarakan Diraja telah habis ditempah.

Jelasnya, tetamu membuat tempahan pada tarikh itu itu bagi membolehkan mereka menyaksikan perarakan pengantin dengan lebih dekat.

Tambah Goh, tempahan berkenaan telah dibuat sejak Oktober tahun lalu.

Putera Mateen, 32, merupakan anak ke-10 Sultan Hassanal Bolkiah dan menduduki tempat keenam dalam barisan takhta negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Mateen, Dayang Anisha selamat bertunang

Bakal isterinya, Anisha Rosnah Adam merupakan cucu kepada penasihat khas Sultan.

Untuk rekod, pasangan itu bertunang pada Selasa dan dijadualkan berkahwin pada Khamis.

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, yang berlangsung pada Ahad.

Acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari yang mana pasangan diraja itu kemudiannya akan menyertai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan.

Majlis resepsi pula dijadual diadakan pada malam 15 Januari. - VNE Express.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain