suria

Pakar bedah rebah selepas tiup udara dalam paru-paru kanak-kanak ketika pembedahan

Seorang pakar bedah mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan seorang pesakit kanak-kanak. -Gambar CMP/CCTV

SEORANG doktor rebah selepas meniup udara ke dalam paru-paru seorang kanak-kanak, sebagai usahanya memastikan paras oksigen darah pesakit itu seimbang sewaktu pembedahan.

Menurut laporan CCTV, Zhong Yan merupakan pakar bedah berusia 64 tahun yang bekerja di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Jiaozuo di Henan, China.

Pada 24 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun dan lima bulan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan kerana tercekik kacang.

Doktor membersihkan saluran pernafasan dan mengosongkan perut pesakit.

Bagaimanapun semasa pemeriksaan keesokannya, mereka menemui beberapa kepingan kacang dalam paru-parunya dan memutuskan untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkannya.

Di dewan bedah, Zhong mendapati paras oksigen dalam darah pesakit terlalu rendah,menyebabkan dia menanggalkan topengnya dan meniup udara ke dalam paru-paru pesakit melalui bronkoskop.

Semasa pembedahan selama 30 minit itu, Zhong bertukar antara melakukan pembedahan dan meniup udara.

Apabila pembedahan hampir selesai, pakar bedah memberitahu rakan sekerjanya: "Saya tidak boleh teruskan."

Dia kemudian rebah ke lantai dewan bedah.

“Ketika itu, saya rasa sesak di dada dan kebas anggota badan. Saya banyak berpeluh,” kata Zhong.

Pakar bedah itu kemudian sedar semula selepas rakan sekerjanya memberinya sedikit cecair glukosa dan oksigen, dan fikiran pertamanya adalah untuk bertanya tentang pesakitnya.

“Saya sihat. Sila semak sama ada jumlah pengudaraan pulmonari kanak-kanak itu baik-baik,” katanya.

Pembedahan itu berjaya selepas Zhong dan pasukannya mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 keping kacang dari paru-paru kanak-kanak itu. - SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain