suria

Demi telefon baru, wanita penggal kepala anak saudara… Siap menangis semasa jumpa mayat

Pembunuhan kejam sering berlaku selepas pertengkaran. -Gambar hiasan

GARA-GARA ingin membeli telefon baru, seorang wanita tergamak membunuh anak saudaranya dan mencuri rantai emas yang dipakai.

Kejadian yang berlaku di Sulawesi Utara, Indonesia itu mengejutkan penduduk kampung apabila mangsa yang berusia lapan tahun ditemukan tanpa kepala di kawasan kebun.

Memetik laporan iNews Sulut, kehilangan suspek hanya disedari keluarganya pada 1 petang, Jumaat.

Susulan daripada itu, gerakan mencari dilakukan bersama penduduk kampung sebelum mangsa ditemukan pada pukul 7.30 malam.

Lebih menyedihkan apabila suspek yang berada di tempat kejadian berpura-pura menangis melihat keadaan mayat mangsa.

Dia bagaimanapun ditahan selepas menjadi individu terakhir bersama mangsa sebelum kejadian berlaku.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku melakukan pembunuhan dan memenggal kepala mangsa bagi mendapatkan rantai emas.

Difahamkan, dia menggadaikan barang kemas berkenaan sebelum membeli telefon baru dan barang keperluan bayi termasuk susu tepung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain