suria

Remaja istimewa tikam leher rakan guna pisau buah hingga mati… Saksi nampak mangsa usik pelaku

Lokasi kejadian tikam di gelanggang bola keranjang sekolah.

SEORANG pelajar yang juga merupakan remaja berkeperluan khas didakwa menikam rakan sekelasnya hingga maut kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin, disyaki kerana menjadi mangsa buli.

Berdasarkan maklumat daripada kakitangan sekolah, insiden berdarah di Sekolah Nak Nava Upatham di Soi Patanakarn, Thailand itu berlaku selepas selesai perhimpunan pagi.

Menceritakan semula kejadian, saksi yang juga pelajar berkata ketegangan bermula apabila mangsa mengusik penyerang ketika mereka sedang memasuki bilik darjah di aras dua sekolah.

Tambah mereka, penyerang yang kebiasaannya digambarkan sebagai seorang yang pendiam secara tiba-tiba mengeluarkan pisau buah dan menikam leher mangsa.

Remaja lelaki yang cedera itu cuba melarikan diri ke aras bawah, tetapi penyerang meluru mengejarnya dan sekali lagi menikamnya di bahagian kanan lehernya, menyebabkan mangsa terjatuh di lantai gelanggang bola keranjang.

Kakitangan sekolah bergegas untuk memeriksa mangsa dan memastikan dia terus sedarkan diri, manakala yang lain cuba untuk mengawal penyerang yang bertindak agresif.

Menurut kakitangan di sekolah berkenaan, penyerang yang berumur 13 tahun tidak banyak bergaul dan sering menjadi bahan usikan rakan sekelasnya.

"Mangsa tidak berkawan rapat dengan penyerang dan punca yang mencetuskan pergaduhan itu masih belum diketahui," ujar seorang kakitangan sekolah.

Anggota perubatan Yayasan Tech Tung tiba di tempat kejadian, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besar Vibharam di mana dia disahkan meninggal dunia.

Penyerang yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Klong Tan untuk disoal siasat di hadapan ibu bapanya sambil disertai pekerja sosial daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia.

Semua kelas dibatalkan apabila ibu bapa bergegas membawa pulang anak-anak mereka setelah dimaklumkan tentang insiden tikaman itu melalui berita di televisyen.

Beberapa ibu bapa berkata mereka sedia maklum yang penyerang merupakan seorang remaja lelaki 'istimewa' dan memberi amaran agar anak-anak mereka tidak mengusik atau membulinya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain