BERANI dan bertanggungjawab. Demikian sifat yang ditonjolkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun selepas mendapati rumah yang didiaminya bersama ahli keluarga terbakar. Budak lelaki terbabit sanggup menggadaikan nyawanya dengan menerjah masuk ke dalam rumah sebanyak empat kali meskipun api semakin marak. Tindakannya itu demi menyelamatkan ayah dan neneknya yang masih terperangkap dalam kebakaran. Menerusi rakaman video sekitar pukul 2 pagi pada 21 Januari lalu, kejadian tersebut berlaku di Kota Zhoukou di Wilayah Henan, China. Menurut laporan tempatan, budak lelaki dikenali Yangyang itu tersedar tentang kejadian selepas mendengar jeritan bapanya meminta tolong. Susulan daripada itu, dia terus mengejutkan nenek yang sedang tidur sebelum berlari keluar dari rumah terlebih dahulu dan memanggil anggota bomba untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, selepas mendapati keluarganya masih terperangkap dalam kebakaran, Yangyang terus berjalan melalui asap tebal berulang kali dan berjaya menyelamatkan ahli keluarga yang tidak sedarkan diri. Anggota bomba yang tiba kemudiannya mengambil masa dua jam untuk memadamkan kebakaran tersebut. Dilaporkan punca kebakaran ialah bapanya merokok di atas katil selepas minum dan secara tidak sengaja menyalakan bahan mudah terbakar di sekeliling. - News Flare Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube