SEORANG lelaki yang dikenakan denda £10,000 (RM60,348) kerana menebang pokok milik jirannya untuk mendapatkan 'pemandangan yang lebih cantik' kini berdepan dengan bil berjumlah £800,000 (RM4.8 juta). Grant Haber, dari New Jersey, menebang 32 pokok milik jirannya untuk menambah baik pemandangan New York City di Amerika Syarikat (AS) dari rumah agamnya bernilai jutaan dolar. Ketua pegawai eksekutif berkenaan menerima padah kerana dia tidak mempunyai permit untuk membuang pokok tetapi dituduh mengupah orang untuk menebang berpuluh-puluh pokok itu. Jirannya, Samih Shinway berang selepas mendapati pokok oak, birch dan maple di kawasan perumahannya di Kinnelon telah ditebang pada Februari lalu dan mendakwa Haber melanggar undang-undang tempatan. Memetik laporan Mirror, Haber pada mulanya dikenakan denda AS$32,000 (RM152,608), iaitu AS$1,000 (RM4,769) untuk setiap pokok yang ditebang, tetapi kemudian berjaya mengurangkannya kepada $13,000 (RM61,997). Dia bagaimanapun boleh dikenakan sejumlah bil yang besar melebihi £800,000 (RM4.8 juta) selepas pihak pendakwaan daerah berkata, dia mungkin perlu membayar untuk menggantikan pokok yang ditebang. "Kami sudah tentu berhadapan dengan penalti yang besar," kata pendakwa perbandaran, Kim Kassar semasa perbicaraan pada Oktober, lapor Daily Record. Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 19 April depan. Tahun lalu, Samih terkejut apabila mendapati satu kumpulan menebang pokok di tanah seluas tujuh ekar miliknya. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube