BARANG pemberian terakhir daripada ahli keluarga yang telah meninggal dunia pastinya tersimpan 1,001 kenangan yang tidak dapat dilupakan. Bagi sesetengah individu, barangan tersebut akan dipertahankan meskipun terpaksa menggadaikan nyawa sendiri. Perkara sama dilakukan seorang pemudah berusia 23 tahun selepas telefon bimbit yang dihadiahkan arwah ibunya diragut dua lelaki di Medan, Indonesia pada pukul 3.15 petang, Sabtu lalu. Disebabkan enggan melepaskan peranti tersebut, dia terseret sejauh 300 meter di atas jalan tar sehingga mengalami kecederaan melecet di kedua-dua belah kakinya. Berkongsi cerita, dia yang merupakan penjual sate pada awalnya beristirehat di sebuah hentian bas berhampiran lokasi gerai. Menurutnya, semasa sedang tidur, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang menyamar sebagai penguatkuasa datang mengejutnya dan meminta dia melakukan tekan tubi. Meskipun menuruti arahan yang diberikan, dia mengakui rasa pelik dengan senario yang berlaku sebelum menyedari telefon bimbit miliknya dilarikan kedua-dua individu berkenaan menggunakan motosikal. Terkejut dengan tindakan tersebut, dia kemudian memeluk salah seorang pelaku dari bahagian belakang sehingga menyebabkannya terseret sejauh 300 meter. - Medan Tribun Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube