SEORANG suami melutut di hadapan isterinya kerana melahirkan anak lelaki, selepas pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan. Lelaki dari Meizhou, Guangdong di China itu berkongsi momen tersebut di laman sosial. Video itu menunjukkan isterinya duduk di kerusi roda sambil memegang sejambak bunga, sementara lelaki berkenaan melutut sebelum memeluk dan menciumnya. Tindakan lelaki itu menyentuh emosi sehingga membuatkan si isteri mengalirkan air mata. "Isteri saya akan discaj dari hospital, sembilan bulan hamil dan bersalin, semua kesakitan itu dirasai awak seorang," tulis lelaki itu. "Ini adalah kali keempat awak berdepan risiko untuk saya. Terima kasih kerana menjadikan kehidupannya lebih lengkap. Tiga perempuan dan seorang anak lelaki menjadikannya 'baik' dalam perkataan Cina. Isteri, awak telah berusaha keras," katanya lagi. Menerusi video berasingan, isterinya memberitahu, wanita itu mengalami kontraksi yang begitu sakit sehingga menyukarkannya berjalan di koridor hospital dan terpaksa bersandar pada besi. Suaminya kemudian memberi semangat menerusi ganjaran berupa wang. "Dua tahun lalu, semasa saya melahirkan anak perempuan ketiga di hospital, suami memberi ganjaran kepada saya sebanyak 2,000 yuan (RM1,314) untuk memberi semangat kepada saya untuk berjalan. "Kali ini, dengan anak ketiga, iaitu lelaki, suami terus beri ganjaran 10,000 yuan (RM6,571). Melihat begitu banyak wang membuat sakit kontraksi saya tiba-tiba rasa berkurangan," kata wanita itu. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube