HABIS madu, sepah dibuang. Demikianlah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan nasib malang yang menimpa seorang warga emas dari wilayah Uthai Thani, Thailand apabila ditipu gadis yang baharu dikahwininya. Chu Cha, 70, berkahwin dengan seorang gadis bernama Pei Pantong, 19, pada Januari lalu dengan harapan isteri mudanya itu dapat menjaga serta menemaninya memandangkan dia menghidap pelbagai penyakit. Gadis tersebut bersetuju untuk berkahwin dengan Chu Cha, malah dia dihadiahkan wang tunai, emas, 50 ekor babi, 500 ekor ayam dan sebuah telefon pintar iPhone sebagai 'hantaran' daripada warga emas itu. Bagaimanapun, selepas sebulan berkahwin, perangai sebenar Pei mula terserlah. Dia mula mengabaikan Chu Cha dan lebih gemar berseronok serta berpesta dengan rakan-rakannya. Apa yang membuatkan Chu Cha bertambah sedih, marah dan tertekan adalah gadis tersebut bukan sahaja menghabiskan wangnya, malah turut mencuri motosikal miliknya. Gadis tersebut juga dengan berani mengakui bahawa dia mempunyai kekasih baru. Chu Cha turut mendakwa, selepas sebulan berkahwin, dia dan isteri mudanya hanya tinggal bersama selama lima malam. Terasa dikhianati, Chu Cha bertindak membuat laporan kepada polis dan mendakwa dia mengalami 'kerugian' sekitar 200,000 baht (RM26,282). Kes pasangan itu kini dalam siasatan polis. -Acehtribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube