DUA transgender dibuli dengan salah seorang daripadanya dipaksa untuk menjilat selipar yang telah diludah. Kejadian berlaku di sebuah kampung di Ballia di Uttar Pradesh, India. Susulan video mengenai kejadian tular di media sosial, polis mengambil tindakan dan mengenal pasti lima suspek. Dalam klip itu, mangsa yang merupakan transgender, dilihat duduk di atas lantai sambil suspek mengarahkan mereka meludah pada selipar dan menjilatnya. Kedengaran mangsa merayu untuk tidak melakukannya, namun suspek tetap memaksanya menjilat ludah dari selipar. Video itu turut menunjukkan rambut kedua-dua mangsa telah dipotong sehingga kelihatan sedikit botak. Menurut Timbalan Penguasa Polis Mohd Faheem Qureishi, kejadian berlaku pada 10 Mac lalu ketika mangsa sedang membuat persembahan tarian di kampung Bahorwa di Ballia. Seorang transgender, dikenali sebagai Puja, memfailkan aduan bagi pihak mangsa, mendakwa suspek membawa kedua-dua mangsa secara paksa menaiki kenderaan. Berdasarkan aduan yang difailkan oleh Puja, suspek merupakan lima transgender dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perebutan kawasan antara dua kumpulan transgender. Mohd Faheem berkata, dua suspek telah ditahan, dan polis kini memburu tiga lagi yang masih bebas. Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube