suria

Warga emas nekad panjat kubah masjid, curi hiasan bersalut emas... Rupanya ada kisah tragis

Hiasan pada kubah masjid yang dicuri seorang lelaki warga emas.

KETIKA situasi terdesak, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

Begitulah kisahnya untuk seorang nelayan berumur 67 tahun yang nekad mencuri hiasan bersalut emas pada kubah masjid yang bernilai 3 bilion rupiah (RM902,195).

Suspek yang dikenali sebagai Amin Gay, ditahan ketika mahu melarikan diri ke Kota Namlea, Pulau Buru dalam wilayah Maluku, Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Buru, Inspektor Aditya Bambang Sundawa berkata suspek mencuri hiasan emas itu untuk membayar hutangnya.

Suspek dikatakan dihimpit beban kewangan dan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mencuri sebagai jalan keluar.

Tambahnya lagi, warga emas berkenaan menggunakan alat seperti tangga kayu dan tali untuk melarikan kubah tersebut.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 2 pagi hingga pukul 3 petang waktu tempatan.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara selama tujuh tahun.

Dalam kejadian pada 4 Mac lalu, hiasan kubah masjid yang diperbuat daripada emas seberat 2.6 kilogram itu hilang dari Masjid Al-Huda, Buru.

Kubah berkenaan ditemukan semula oleh penduduk dengan keadaan sudah patah dan ditanam di dalam tanah.

Hiasan tersebut merupakan sumbangan penduduk Kampung Kayeli dan pelombong di Gunung Botak yang mengunjungi masjid tersebut sejak tahun 2015. - Tribunnews.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain