suria

Arab Saudi hanya benarkan umrah sekali pada bulan Ramadan

Arab Saudi mengehadkan jemaah mengerjakan umrah hanya sekali ketika Ramadan. -Gambar fail Reuters

ARAB Saudi mengumumkan bahawa jemaah tidak dibenarkan mengerjakan umrah lebih daripada sekali pada bulan Ramadan.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah, peraturan itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bagi menunaikan ibadah itu ketika Ramadan.

Ini kerana katanya, bulan yang mulia itu merupakan musim puncak bagi umrah setiap tahun.

"Kebenaran untuk menunaikan dua atau lebih umrah tidak akan dikeluarkan pada bulan mulia (Ramadan).

"Langkah ini adalah untuk mengurangkan kesesakan dan memberi peluang kepada jemaah lain menunaikan umrah dengan mudah dan selesa sepanjang bulan mulia ini," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Di bawah sistem aplikasi Nusuk, jika seorang jemaah ingin mengeluarkan permit umrah untuk kali kedua pada bulan Ramadan, mesej akan tertera 'pengeluaran permit gagal'.

Sambil menekankan keperluan mendapatkan permit yang dikeluarkan daripada permohonan Nusuk untuk menunaikan umrah oleh jemaah, kementerian itu menggariskan kepentingan pematuhan slot masa yang diperuntukkan untuk menunaikan ibadah tersebut.

Tiada pilihan pada aplikasi Nusuk untuk menukar waktu temu janji umrah. - Saudi Gazette

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain