suria

Bapa di perantauan azan bayi melalui ‘video call’, undang sebak netizen - “Demi keluarga hidup selesa”

Bapa mengazankan bayi melalui panggilan video.

MEMBACAKAN azan dan iqamah di telinga bayi merupakan satu sunnah Nabi Muhammad SAW yang dituntut.

Sudah tentunya momen yang mengharukan buat seorang ayah apabila mendapat peluang sedemikian bersama zuriat yang baru dilahirkan ke dunia.

Baru-baru ini tular video menyentuh hati di laman TikTok, apabila seorang bapa terpaksa mengazankan anaknya yang baru ditimang menerusi panggilan video.

Manakala si ibu yang sedang terlantar di katil hospital pula dilihat erat memeluk bayi kesayangannya.

Menurut keterangan video tersebut, situasi itu berlaku kerana si bapa bekerja jauh daripada keluarganya.

Menerusi video sama, alunan azan bapa didengar terputus-putus kerana talian internet yang kurang stabil. Walaupun begitu, si ayah tetap menyambung azan sehingga selesai.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan lelaki berkenaan yang tetap memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa meskipun sedang di perantauan.

"Tetap semangat ayah di luar sana, berjuang demi keluarga tercinta agar yang di rumah dapat hidup selesa.

"Sedih tengok. Alhamdulillah saya dua kali melahirkan anak, kedua-duanya suami ada di sisi. Itu pun satu rezeki juga yang ramai terlepas pandang," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain