suria

Ibu tergamak cekik anak gadis hingga mati gara-gara enggan berkahwin dengan calon pilihannya

Mangsa maut dicekik ibu sendiri kerana menolak untuk berkahwin dengan calon pilihan wanita tersebut. -Gambar Indiatoday

SEORANG wanita tergamak membunuh anak perempuannya yang berusia 20 tahun, gara-gara gadis berkenaan menolak untuk berkahwin dengan calon pilihannya.

Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin minggu lalu di Ibrahimpatnam, Hyderabad, India, suspek yang dikenali sebagai Mote Jangamma dilaporkan memaksa anaknya, Mote Bhargavi, mengahwini saudara terdekat mereka.

Namun gadis berkenaan yang merupakan penuntut di sebuah kolej swasta menolak permintaan tersebut kerana sudah mempunyai teman lelaki.

Berang dengan penolakan tersebut, suspek bertindak mencekik leher anak gadisnya dengan sehelai kain sehingga mangsa maut.

Suspek kemudian menangis dan memberitahu seorang lagi anaknya yang berusia 17 tahun bahawa mangsa meninggal dunia kerana cubaan membunuh diri.

Bagaimanapun, hasil siasatan menunjukkan kecederaan di leher mangsa adalah akibat dicekik.

Suspek kemudian ditahan untuk disoal siasat. -Indiatoday

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain