GARA-GARA cuba mendapatkan semula telefon bimbit yang terjatuh, seorang lelaki terperangkap di dalam longkang di Brisbane selama 36 jam. Insiden tersebut diceritakan semula pekerja kecemasan Australia yang membantu mengangkat penutup longkang berkenaan bagi menyelamatkan mangsa. Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan memasuki lubang tersebut pada hujung minggu lalu bagi mendapatkan semula telefon bimbitnya. Disebabkan telah menolak bantuan awal yang ditawarkan orang awam pada Ahad, dia berterusan terperangkap sehingga terpaksa minum air longkang ketika cuba mencari jalan keluar. Dia bagaimanapun diselamatkan pasukan kecemasan selepas seorang penduduk membuat laporan susulan mendengar nafas berat dari longkang sekitar pukul 11 pagi, Isnin. Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland memberitahu AFP bahawa anggota bomba tiba dan dapat mengangkat penutup longkang serta menyelamatkan lelaki itu. Dia dikatakan mengalami kesan melecet dan terdedah kepada kesejukan sebelum dibawa ke Hospital Mater. Perkhidmatan kecemasan berkata dia berada dalam keadaan stabil. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube