SEORANG pemuda di Kota Medan, Sumatera Utara menyerah diri kepada polis selepas menikam abang tirinya sehingga maut, kerana terbayang wajah ibu. "Demi ibu tercinta, saya pasrahkan diri," kata suspek yang dikenali sebagai Gilang Prasetya. Ketika disoal siasat, Gilang, 21, juga mengaku dia sama sekali tidak berniat mahu membunuh abang tirinya itu. Bagaimanapun, tindakannya yang tanpa sengaja menghayun gunting ketika bertengkar dan terkena leher telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan. Mangsa, Panji Satria yang berusia 33 tahun, maut gara-gara cedera parah akibat tikaman pada lehernya. Menurut suspek, pertengkaran antara dia dan abang tirinya tercetus kerana mangsa tidak mahu bergilir-gilir menjalankan tugas sebagai pengawal lalu lintas. Ujarnya, mangsa telah bertugas sejak tengah hari di hadapan Rumah Sakit Hermina, daerah Medan Helvetia. "Dia sudah bertugas dari tengah hari, petang hingga malam. Jadi, pendapatan dari situ sekitar 300,000 rupiah (sekitar RM88) sehari," ujarnya. Sementara itu, Ketua Polis Helvetia, Pesuruhjaya Alex Piliang mengesahkan motif pembunuhan adalah disebabkan perselisihan faham mengenai tugas mengawal lalu lintas. Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman 15 tahun penjara. -Detik.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube