suria

Bermula gusi bengkak dan alami radang, wanita akhirnya hembus nafas terakhir selepas cabut geraham bongsu

Nira (kanan) menghembuskan nafas terakhir pada 27 April lalu. -Foto Istimewa/Detik.com

SEORANG wanita dari Ngawi, Jawa, Indonesia dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan torakotomi bagi merawat jangkitan di bahagian dada, yang disangka berpunca daripada cabutan gigi geraham.

Nira Pranita Asih, 31, pada mulanya menjalani pembedahan mencabut gigi geraham bongsu pada 28 Disember 2023.

Menurut suaminya, Davin, sebelum menjalani pembedahan, dia dan isterinya telah mengadakan rundingan dengan doktor pada 20 Disember 2023.

"Kami cabut gigi di klinik doktor di Walikukun. Kami rujuk dulu sama ada gigi bongsu itu normal atau tidak. Selepas X-ray, doktor kata gigi ini kena cabut sebab sakit kepala dan sebagainya," ujarnya.

Menurut Davin, pada mulanya Nira mengalami gusi bengkak, keradangan dan keadaannya makin memburuk apabila jangkitan didapati merebak ke leher hingga ke paru-paru.

Pasukan doktor yang merawat membuat kesimpulan bahawa pembedahan torakotomi diperlukan untuk merawat jangkitan yang dialami Nira.

Selepas pembedahan, Nira terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan bergantung kepada ventilator.

Doktor kemudian mengesyorkan agar Nira dirawat di rumah dengan tiub ventilator yang dibuat melalui trakeostomi.

Pada 27 April, Nira dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas, namun menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian. -Detik.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain