SEORANG wanita didakwa atas kesalahan menyembunyikan mayat bapanya yang berusia 100 tahun agar dapat terus menerima bayaran pencen bulanan. Suspek yang tidak didedahkan identiti itu berasal dari kota Kaohsiung, Taiwan, China, dia dilaporkan tinggal bersama bapanya yang juga seorang anggota tentera selama lebih 50 tahun selepas kematian ibunya. Rasa sangsi pihak polis mula timbul pada November tahun lalu apabila wanita itu enggan membenarkan operasi pembasmian nyamuk aedes dijalankan di kediamannya, sehingga dia akhirnya didenda 60,000 Taiwan Dollar (RM8,766). Ketika penggeledahan dijalankan di premis wanita itu, pihak polis bertanya tentang keberadaan bapanya dan wanita berkenaan menjawab orang tuanya itu kini berada di sebuah pusat jagaan. Namun selepas didesak pihak berkuasa yang mengesyaki sesuatu, dia mengubah jalan ceritanya dengan berkata bapanya sudah dibawa ke tanah besar China oleh abangnya. Bagaimanapun penipuan wanita itu sekali lagi dipatahkan apabila siasatan polis mendapati abangnya sudah meninggal dunia 50 tahun lalu. Malah, tiada rekod bahawa bapa wanita tersebut pernah dibawa ke Taiwan seperti yang didakwanya. Polis kemudian melakukan pemeriksaan di dalam rumah dan menemukan sebuah beg plastik hitam berisi rangka tulang yang merupakan milik mendiang bapa wanita berkenaan. Berikutan penemuan itu, polis melancarkan siasatan untuk mengetahui punca kematian bapa wanita tersebut, selain merungkai kemungkinan wujudnya sebarang unsur jenayah yang cuba disembunyikan suspek. Dalam pada itu, wanita tersebut menerima rawatan di hospital kerana didapati kesihatan mentalnya berada dalam keadaan lemah. Walaupun butiran perkhidmatan bapa wanita itu tidak diketahui, dipercayai purata pencen veteran seorang tentera di Taiwan adalah sebanyak 49,379 Taiwan Dollar (RM7,205) sebulan. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube