SEORANG anggota tentera wanita dipercayai mati dibunuh di kediamannya pada 18 Mei lalu. Mangsa, Katia Duenas-Aguilar, 23, ditemukan kira-kira pukul 8.30 malam di dalam bilik tidur berkunci di kediaman di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang terletak di luar pangkalan tentera. Menurut laporan Daily Mail, para detektif percaya ibu kepada seorang cahaya mata itu mati akibat dibunuh. Pada 1 Jun lalu, pegawai Liga Rakyat Amerika Latin Bersatu (LULAC) berkata organisasi itu memberi sokongan penuh terhadap keluarga mangsa yang sedang berduka. Organisasi itu turut memberi bayangan bahawa seseorang dalam tentera mungkin bertanggungjawab di atas kematian mangsa. Ibu mangsa, Carmen Aguilar juga mendakwa kematian anaknya itu mempunyai kaitan dengan individu tertentu dalam pekerjaannya. ARTIKEL BERKAITAN: Pernah masuk program TV, TikToker umur 18 tahun dibunuh... Mayat ditanam di kawasan rumah terbiar "Masalahnya ada di dalam dan anda juga tahu," ujar Carmen Aguilar penuh emosi. "Kami ingin tahu apa yang berlaku, siapa yang melakukannya dan kami mahu memastikan orang itu dibawa ke muka pengadilan," ujar ahli keluarga mangsa dalam satu kenyataan berasingan. Untuk rekod, wanita itu menyertai Tentera Darat pada 2018, menamatkan latihan asas dan latihan individu lanjutan di Fort Eisenhower. Dia kemudiannya ditugaskan ke Briged Penerbangan Tempur (Serangan Udara) Bahagian Bawaan Udara ke-101. Dalam tempoh itu, dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun, tetapi seperti yang disebut oleh kakaknya, mangsa merancang untuk meninggalkan kerjayanya dalam Tentera Darat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube