JIWA yang memberontak boleh membuatkan seseorang itu bertindak di luar kawalan. Begitulah kisahnya seorang wanita yang berani melucutkan pakaiannya di Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Filipina sebagai tanda protes kerana dikenakan denda. Dalam kejadian pada Mei itu, wanita warganegara Vietnam dikenali sebagai Thuytrang Nguyen, 34, didenda oleh pegawai imigresen kerana tinggal melebihi had masa yang ditetapkan ketika melancong di Filipina. Susulan tidak dapat membendung ketidakpuasan hatinya, Nguyen bertindak memasuki tandas awam dan keluar semula dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang pada tubuhnya. Dia kemudiannya berjalan menuju ke kaunter imigresen untuk mendapatkan perhatian. Kakitangan lapangan terbang yang terkejut dengan tindakan wanita tersebut segera menghampiri untuk menenangkannya termasuk menawarkan makanan dan minuman. Seorang anggota keselamatan lapangan terbang, Manuel Sequitin berkata Nguyen tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Tagalog dan Inggeris. “Dia hanya tahu bahasa Vietnam, jadi kami menggunakan aplikasi Google Translate untuk berkomunikasi dengannya,” kata Sequitin. Nguyen akhirnya dibenarkan menaiki penerbangan pulang ke Hanoi, Vietnam pada 9 Mei selepas membayar denda. - New York Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube