TINDAKAN yang tidak berhati perut! Begitulah kisahnya apabila seorang pelajar perempuan dipukul sehingga mengalami lebam dan luka pada badan oleh sekumpulan pembuli dari sekolah berlainan di sekitar Kota Bekasi, Indonesia. Mangsa yang berumur 14 tahun ditampar, ditendang dan dipukul secara beramai-ramai dalam satu kejadian pada minggu lalu. Malah lebih mendukacitakan apabila pelaku turut merakam kekerasan yang dilakukan untuk dimuat naik ke platform Instagram. Pelaku terdiri daripada empat individu, dua orang memukul mangsa manakala lagi dua merakam insiden berkenaan untuk disiarkan secara langsung. Dalam pada itu, bapa mangsa yang menyaksikan video tular tersebut berkata kejadian yang menimpa anaknya sama sekali tidak boleh diterima. "Ini sudah sangat melampau dan saya akan membuat laporan polis," ujar bapa mangsa. Sementara itu, Ketua Unit Jenayah Kota Bekasi, Muhammad Firdaus berkata siasatan sedang dijalankan. "Kami akan soal siasat semua suspek yang terlibat. Motif buli mungkin mempunyai kaitan dengan perebutan teman lelaki,” katanya. - Tribunnews.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube