suria

Berang dituduh curi ayam, lelaki bunuh nenek 80 tahun! Pukul kepala guna kayu, tekup muka dengan bantal

maut

SEORANG lelaki didakwa membunuh seorang nenek berusia 80 tahun kerana berang dituduh mencuri ayam milik mangsa.

Suspek berusia 59 tahun itu memukul kepala mangsa menggunakan kayu berulang kali.

Ketika kejadian mangsa sedang tidur di biliknya.

Kejadian berlaku di Gunungkidul di Yogyakarta, Indonesia.

"Mangsa tinggal bersendirian di rumahnya. Kejadian berlaku pada awal pagi," kata Ketua Polis Gunungkidul, AKBP Edy Bagus Sumantri, pada Khamis.

Menurut Edy, pembunuhan itu berlaku pada 24 November 2023.

Bagaimanapun, suspek hanya ditahan pada 29 Mei lalu, di rumah saudaranya di wilayah Kapanewon Kokap, Kabupaten Kulon Progo.

"Suspek dikatakan berang dengan jirannya yang menuduhnya mencuri ayam milik mangsa. Malah, perkara itu menjadi bahan kutukan selama sebulan," kata Edy.

Jelas Edy lagi, mangsa dipukul berulang kali sebelum mukanya ditekup dengan bantal dan kain.

Selain itu, suspek turut didakwa mencuri cincin kepunyaan mangsa yang diletakkan di bawah bantal pada hari kejadian.

Suspek berhadapan dengan tuduhan membunuh dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun jika disabit kesalahan. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan