SEORANG lelaki berusia 29 tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh salah seorang pekerja kafe siber, selepas mangsa disyaki menghabiskan masa terlalu lama bermain permainan video dalam talian (online). Menurut laporan South China Morning Post, pihak polis menerima panggilan daripada pekerja kafe siber berkenaan sekitar pukul 10 malam, pada 3 Jun lalu. Pekerja premis tersebut memaklumkan, mangsa terbaring di atas meja komputer dan tidak bertindak balas selepas 30 jam, menyebabkan mereka menghubungi pihak berkuasa. Pengurus kafe siber di Wenzhou, wilayah Zhejiang, China itu memberitahu mangsa merupakan pelanggan tetap yang lazimnya menghabiskan selama enam jam untuk bermain permainan atas talian setiap hari. Bagaimanapun pada 1 Jun lalu, mangsa bermain lebih lama dan hanya meninggalkan kafe sekitar 6 pagi keesokannya untuk bersarapan. "Berdasarkan baki sarapan pagi yang ditinggalkan di atas meja, dia tidak makan tengah hari pada 2 Jun,jadi dia mungkin meninggal dunia secara mengejut pada pagi hari yang sama," jelas seorang pegawai polis. Dalam pada itu, keluarga mangsa enggan melakukan bedah siasat namun menyifatkan pihak kafe itu tidak bertanggungjawab. Menjawab tuduhan tersebut, pengurus kafe menjelaskan pekerjanya menyangka mangsa tertidur dan tidak mahu mengejutkannya kerana hampir kesemua pelanggan akan marah sekiranya diganggu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube