suria

Tak sedap hati isteri belum tiba rumah abang... Selipar dalam semak jadi petunjuk, rupanya ditelan ular sawa!

Penduduk kampung membunuh ular sawa yang menelan Siriati. -Foto Viralpress

SEORANG wanita maut selepas ditelan seekor ular sawa sepanjang 30 kaki (9 meter), dalam satu kejadian di Kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan, pada Selasa (2 Julai).

Memetik laporan Mirror, mangsa yang dikenali sebagai Siriati, 30, diserang reptilia berkenaan ketika dalam perjalanan ke rumah abangnya.

Mangsa yang merupakan ibu kepada lima cahaya mata, sebelum itu merancang untuk pergi ke pasar bersama-sama abangnya untuk membeli ubat.

Suami Siriati, Adiansya, 30, mula berasa tidak sedap hati apabila menerima panggilan telefon daripada abang iparnya memberitahu wanita tersebut belum tiba di rumahnya.

Adiansya kemudian mencari isterinya menggunakan laluan yang sama, sebelum ternampak selipar mangsa di dalam semak.

Ketika mencari di kawasan sekitar, dia ternampak seekor ular sawa sedang menelan isterinya, dengan kaki wanita tersebut masih terjuntai daripada mulutnya.

Adiansya membunuh reptilia berkenaan dengan bantuan penduduk kampung dan cuba mengeluarkan isterinya namun wanita tersebut sudah tidak bernyawa.

Untuk rekod, ini adalah insiden kedua dalam tempoh sebulan di wilayah sama, di mana penduduk kampung terkorban ditelan ular sawa.

Awal Jun lalu, seorang pekebun yang dikenali sebagai Farida, 50, turut terkorban ditelan ular sawa gergasi dalam kejadian di Desa Kalempang, Sulawesi Selatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain