suria

Pelajar berusia 17 tahun ditahan cabul isteri orang, ambil kesempatan ketika mangsa tidur

Mangsa cabul lazimnya akan berdepan dengan trauma untuk jangka masa yang lama. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar sekolah menengah di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita berstatus isteri orang, lapor Aceh Tribun.

Suspek berusia 17 tahun yang hanya dikenali sebagai RW itu didakwa menyelinap ke rumah mangsa, YF, melalui pintu belakang.

Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Kota Probolinggo, Inspektor Zainullah, ketika kejadian yang berlaku pada awal pagi 17 Jun lalu itu, mangsa yang berusia 24 tahun sedang tidur di dalam bilik bersama anaknya.

Suspek bertindak berbaring di sebelah mangsa dan mencabulnya.

Tidak lama kemudian, mangsa tersedar bahawa lelaki di sebelahnya itu bukanlah suaminya.

Mangsa terus menjerit memanggil suaminya yang tidur di ruang hadapan, manakala suspek bertindak melarikan diri melalui pintu belakang.

Suami mangsa berjaya mencari suspek berdasarkan gambaran yang diberikan oleh isterinya.

Ketika ditemui, suspek sedang bersembunyi tanpa memakai pakaian.

Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi dan melakukan soal siasat terhadap suspek.

"Polis akhirnya menangkap dan menahan RW kerana disyaki melakukan perbuatan cabul, sebagaimana dimaksud dalam Pasal 290 Undang-undang Hukum Pidana yang membawa hukuman maksimum 7 (tujuh) tahun," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain