suria

Orang kampung pakat hirup air basuhan kaki jemaah haji... Nak ambil berkat balik dari Tanah Suci!

Tangkap layar daripada video memaparkan beberapa wanita meminum air basuhan kaki jemaah haji.

KEPULANGAN jemaah haji ke tanah air selepas hampir sebulan menunaikan ibadah di Tanah Suci sememangnya dinanti-nantikan keluarga serta sahabat handai.

Justeru menjadi kelaziman bagi ahli keluarga menganjurkan majlis kenduri kesyukuran bagi menyambut kepulangan mereka.

Namun berlainan pula dengan adat bagi penduduk di sebuah kampung dipercayai di Banjarmasin, Indonesia ini.

Menerusi video yang dikongsikan di laman TikTok, kelihatan beberapa wanita mencuci muka dan meminum air basuhan kaki jemaah yang baru pulang mengerjakan haji.

Dua individu yang merupakan jemaah haji itu dilihat sedang duduk di atas kerusi sambil kaki mereka direndam dalam bekas air yang turut ditabur bunga, sebelum diminum penduduk kampung.

Difahamkan, perbuatan berkenaan adalah adat yang biasa dilakukan apabila jemaah pulang dari Tanah Suci, yang dianggap sebagai mengambil 'berkat'.

Bagaimanapun, adat berkenaan mengundang reaksi negatif daripada warga maya.

Rata-ratanya berpandangan ia adalah adat yang keterlaluan dan bertentangan dengan ajaran Islam, selain mereka turut menyuarakan isu kebersihan.

Namun pemilik video kemudian tampil meminta warga maya agar berhati-hati dalam memberi komen dan menghormati adat masyarakat lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain