PENDUDUK setempat di Pulau Taliabu, Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat bayi perempuan yang tidak cukup anggota sedang diseret anjing. Ketua Polis Pulau Taliabu, AKBP Totok Handoyo berkata, pihaknya masih membuat siasatan lanjut berhubung penemuan mayat berkenaan meskipun ibu mangsa yang baru berusia 21 tahun, telah ditahan. Menurutnya, mayat bayi terbabit ditemukan pada pukul 5 petang, Selasa lalu oleh seorang lelaki dikenali sebagai Simon. Ujarnya, pada masa kejadian, Simon dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Desa Tolong selepas mandi pantai. "Dia melihat seekor anjing membawa sesuatu yang dibungkus pakaian bayi berwarna merah muda menuju ke arah rumahnya. "Disebabkan perasaan ingin tahu, dia kemudian mengikut arah anjing berkenaan dan selepas mendapatkan bungkusan, dia terkejut melihat mayat bayi. "Mayat bayi perempuan sudah tidak mempunyai tangan dan kaki kanan," jelasnya memetik laporan Detik News. Tambahnya, susulan daripada penemuan tersebut, pihaknya menjalankan siasatan terhadap wanita hamil di sekitar desa berkenaan dan menemukan ibu mangsa dalam keadaan lemah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube