suria

Wang tabungan pelajar berjumlah lebih RM75,000 lesap… Rupanya diseleweng bekas pengetua

Bekas pengetua di sekolah berkenaan didakwa menyeleweng wang tabungan pelajar berjumlah lebih RM75,000. -Gambar hiasan

SEBILANGAN ibu bapa kepada pelajar Sekolah Dasar (SD) Pinggir Papas 1, Kabupaten Sumenep, Jawa Timur hadir ke Balai Polis Sumenep bagi melaporkan kes penyelewengan wang tabungan pelajar, lapor Kompas.

Mereka mendakwa wang tabungan berjumlah sekitar Rp262 juta (sekitar RM75,500) 'digelapkan' oleh salah seorang tenaga pengajar di sekolah berkenaan.

"Kami telah melaporkan perkara ini kepada polis. Saya tidak tahu sama ada wang simpanan anak kami digunakan secara peribadi atau tidak, yang jelas sehingga kini masih belum ada penjelasan daripada pihak sekolah," kata salah seorang ibu bapa pelajar, Herdiyanto.

Herdiyanto menjelaskan, dakwaan penyelewengan tabungan pelajar itu terbongkar selepas ada ibu bapa hadir ke sekolah untuk mengeluarkan wang simpanan anak masing-masing mulai tahun persekolahan 2023.

Jumlah simpanan keseluruhan mencecah lebih Rp262 juta.

Ia adalah simpanan pelajar sekolah berkenaan selama satu tahun persekolahan, iaitu dari 2023 hingga April 2024.

Bagaimanapun, apabila tiba penghujung tahun persekolahan 2024 pada April lalu, pihak sekolah masih belum mengeluarkan wang tersebut.

Pihak sekolah berkata, wang simpanan pelajar itu tidak wujud dan selepas disiasat, ternyata ia digunakan oleh pengetua lama yang telah ditukarkan ke sekolah lain.

Ketua Subseksyen Perhubungan Awam Polis Sumenep, AKP Widiarti mengesahkan menerima laporan daripada pihak ibu apa.

Ujarnya, polis akan segera menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain