suria

Terlambat lempar, bom ikan meletup atas bot... Pemuda maut, tangan kanan putus

Mangsa maut dengan sebahagian tubuhnya melecur. -Gambar hiasan

SEORANG pemuda dari Desa Mola Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia maut akibat letupan bom ikan ketika menangkap ikan di laut.

Menurut Ketua Polis Perairan, Kayfulani Usman, mangsa yang dikenali sebagai Bongkar Sayeng, 23, disyaki terlalu lewat melempar bom ikan ke laut sehingga meletup di atas botnya.

"Orang ramai menghubungi polis apabila terdengar bunyi letupan bom di tengah laut, tapi tiada sesiapa yang berani mendekati," ujarnya memetik laporan Kompas.

Menurut Kayfulani, mangsa pergi menangkap ikan seorang diri dengan bot di tengah perairan laut Desa Mola Utara, pada petang Selasa lalu.

"Difahamkan, bom ikan terlambat dibuang dan ada penduduk yang melihat bot itu melambung ke udara," kata Kayfulani.

Selepas letupan reda, ujarnya, penduduk dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk mencari mangsa namun tidak ditemui.

Mayat mangsa kemudian ditemui pada hari berikutnya dengan tubuh mengalami kesan terbakar.

"Badannya separuh melecur dan tangan kanannya putus, kaki kanannya hampir putus," kata Kayfulani.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain