suria

Pekerja koperasi hilang selepas kutip hutang, rupanya ‘dilupus’ di tempat buang sampah! Suspek dedah motif bunuh mangsa

Mangsa (kiri) pada mulanya dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui di tempat buang sampah. -Foto Istimewa/Serambinews

PASANGAN suami isteri dari Limapuluh Kota, Sumatera Barat yang ditahan polis kerana disyaki membunuh seorang pekerja koperasi, mengaku melakukan jenayah berkenaan kerana sakit hati, lapor Serambinews.

Suspek yang hanya dikenali sebagai RN dan YE ketika disoal siasat mendedahkan, mereka tidak berpuas hati apabila mangsa, Feni Ria Andriani, 42, mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan.

"Daripada pengakuan suspek, mereka sakit hati dan tidak menerima apa yang dikatakan mangsa, lalu membunuh mangsa," kata Ketua Polis Bandaraya Lima Puluh, AKBP Ricardo Condrat Yusuf.

Kejadian bermula apabila mangsa datang ke rumah suspek dengan tujuan mengutip hutang sekitar Rp10 juta (sekitar RM2,891), namun suspek tidak mampu melunaskannya.

Ricardo berkata, kerana sakit hati selepas mangsa mengeluarkan kata-kata yang kurang enak, suspek memukul mangsa menggunakan pemegang cangkul dan kemudian memijak lehernya.

Selepas mangsa tidak sedarkan diri, suspek memasukkan mangsa ke dalam guni.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke tempat pembuangan sampah yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya," jelas Ricardo.

Setibanya di sana, suspek membakar mangsa bersama-sama tayar, daun dan sampah.

Tulang mangsa kemudiannya turut ditanam di situ.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai pengutip hutang program Mekaar PT PNM Limapuluh Kota, ditemui maut dengan hanya tinggal tulang di tempat pembuangan sampah.

Menurut Ricardo, sebelum mayat mangsa ditemui, wanita itu dilaporkan hilang pada 26 Jun 2024 oleh suaminya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain