PEROMPAK yang memecah masuk kediaman pasangan pesara guru di Tamil Nadu, India sempat meninggalkan nota permohonan maaf selain berjanji akan memulangkan semula barang yang dicuri dalam masa sebulan. Memetik laporan Indiatoday, ketika kejadian, Selvin dan isterinya, kedua-duanya pesara guru, pergi ke Chennai untuk menziarahi anak mereka pada 17 Jun. Pasangan itu mengupah pembantu rumah untuk membersihkan kediaman semasa ketiadaan mereka. Ketika pembantu rumah itu ke kediaman Selvin pada 26 Jun untuk melakukan tugasnya, dia terkejut melihat pintu utama terbuka lalu segera memaklumkan lelaki berkenaan. Apabila tiba di rumahnya, Selvin mendapati wang tunai Rs 60,000 (sekitar RM3,383), barang kemas emas 12 gram dan sepasang gelang kaki perak turut lesap. Apabila polis tiba dan melakukan siasatan, mereka kemudian menemui nota permohonan maaf yang dipercayai ditinggalkan oleh perompak. "Maafkan saya. Saya akan pulangkan dalam masa sebulan. Saya melakukan ini kerana seseorang di rumah saya sedang sakit," demikian tulisan pada nota berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube