suria

Masuk kampung naik helikopter, penduduk tanggung rugi lawatan Jokowi rosakkan pokok ubi

Tanaman penduduk sekitar rosak akibat pendaratan helikopter yang membawa Jokowi.

LAWATAN Presiden Jokowi Widodo ke Lampung Utara, Indonesia memberi kesan buruk kepada segelintir masyarakat tempatan.

Ini kerana dua buah helikopter yang membawa rombongan Presiden itu didakwa merosakkan beberapa ladang ubi kayu milik pekebun dan peniaga kecil di sekitar Stadium Sukang Kotabumi.

Menurut seorang pemilik ladang ubi kayu dikenali sebagai Rahmat Saleh, tanaman miliknya rosak akibat diterbangkan angin daripada helikopter yang mendarat di kawasan itu.

Kata petani itu lagi, ubi kayu itu baru ditanam kira-kira lima hingga enam bulan lalu.

Bagaimanapun, dia terpaksa menuai lebih awal kerana tanamannya sudah dirosakkan.

Ujar Rahmat ketika ditemui, dia berharap ada pihak yang mengambil berat untuk membayar pampasan atas kerugian dialami.

Difahamkan selain merosakkan pokok ubi kayu, tiupan angin helikopter juga hampir memusnahkan pokok kelapa sawit di sekitar lokasi itu.

Dianggarkan kerugian akibat kerosakan mencecah 4 juta Rupiah Indonesia (RM289). -AGENSI

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain