SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui maut serta hilang salah satu anggota tangan yang dipercayai dikerat dengan sengaja. Mayat kanak-kanak itu ditemui oleh bapanya, Issam Abu Al-Wafa di kawasan pertanian Assiut, Mesir Hulu, selepas dilaporkan hilang dari rumah selama empat hari. Menurut pendakwa raya, jenayah yang dilakukan ke atas mangsa adalah berkaitan dengan penggalian barangan antik secara haram. Justeru itu, pihak polis berjaya menahan tiga suspek yang merupakan sepupu serta ibu bapa saudara mangsa. "Dua lelaki mengaku menjual tangan mangsa itu kepada pencari barang antik. "Mereka menggunakannya untuk mencapai khazanah Mesir Purba yang tertimbus sewaktu penggalian haram dilakukan," jelas pendakwa raya. Dalam pada itu, Issam meluahkan rasa pilu apabila mengenangkan memori manis bersama anaknya yang dikenali sebagai Mohammed. Malah dia mengakui rasa terkejut apabila dimaklumkan tentang laporan siasatan polis berikutan suspek adalah saudara dekatnya. "Saya tidak menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada Mohammed kerana semua penduduk kampung mengenalinya dengan baik. “Berita itu mengejutkan, apabila siasatan polis menyimpulkan bahawa mereka yang membunuh Mohammed adalah sepupu saya yang pernah bermain dengannya. "Malah bersama-sama dengan saya mencari Mohammed," kata Issam. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube